Kerajaan belum cadang laksana program vaksinasi mpox di Malaysia

2024-08-20 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto REUTERS

GEORGE TOWN,20 Ogos- Kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan program vaksinasi bagi penyakit cacar monyet atau mpox untuk rakyat negara ini,kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata setakat ini tiada perbincangan dibuat mengenai perkara itu,namun kajian secara mendalam perlu dibuat terlebih dahulu sekiranya terdapat keperluan untuk melaksanakannya.

“Setakat ini kita tak ada pun bercakap tentang vaksin ini dan sekiranya ada pun,kita akan kaji sepenuhnya keperluan berkenaan mpox ini. Kalau kita lihat pada garis panduan dan juga cara jangkitan,ia boleh dielak jika individu itu mengambil langkah berhati-hati,umpamanya dengan mengamalkan kebersihan kendiri dan lain-lain.

“Biasanya simptom jangkitan mpox boleh dilihat dengan jelas melalui tanda-tanda fizikal seperti tompok-tompok di badan dan pesakit sendiri boleh merasakan kesannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Saintifik Kesihatan Sempadan Malaysia-Thailand ke-34 di sini hari ini.

Mengulas lanjut,Lukanisman berkata setakat ini tiada kes jangkitan baharu direkodkan dalam negara,namun pihaknya sentiasa memantau rapat perkembangan kes itu dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi dari semasa ke semasa.

Selain itu,beliau berkata buat masa ini tiada halangan kepada rakyat negara ini untuk ke luar negara,tetapi perlu sentiasa berwaspada dengan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mengelakkan sebarang jangkitan.

Lukanisman berkata kerajaan ketika ini sedang melaksanakan kawalan ketat di pintu masuk negara serta sempadan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kemasukan pengembara dari luar.

“Setakat ini proses yang kita lakukan adalah sama seperti ketika pandemik (COVID-19). Semua langkah berjaga-jaga telah diambil oleh agensi-agensi yang berkenaan terutama sekali di pintu masuk imigresen,lapangan terbang dan juga di sempadan serta kita akan rujuk kepada mereka jika ada keperluan,” katanya.

Sebelum ini KKM dalam kenyataan memaklumkan sentiasa bersiap sedia melalui pengukuhan aktiviti pengawasan dan sokongan berkaitan mpox termasuk meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa.

Ini susulan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa untuk kali kedua pada 14 Ogos lepas.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap