Generasi huffaz diperkasa, mampu bersaing dalam bidang profesional- Ahmad Zahid

2024-09-15 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto: FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR,15 September- Kerajaan akan terus memperkasa generasi huffaz bagi memastikan golongan berkenaan bukan sahaja berjaya dalam hafazan,malah mampu bersaing dan menyumbang dalam pelbagai bidang profesional di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) telah memperkemas Sijil Tahfiz Malaysia 2.0,Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) dan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH).

“Program Eksplorasi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan Tahfiz turut diperkasakan demi pembangunan huffaz yang seimbang antara ilmu agama dan kemahiran duniawi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam hantaran sama,Ahmad Zahid turut menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran Himpunan 24K Huffaz yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Wilayah Persekutuan di sini,semalam.

Beliau berkata kehadiran seramai 24,000 para huffaz dari seluruh negara dalam program itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam memartabatkan al-Quran dan para huffaz sebagai modal insan yang penting bagi negara.

“Dengan tema 'Huffaz Tonggak Modal Insan Negara’,himpunan ini adalah manifestasi usaha kerajaan untuk memastikan generasi huffaz terus memainkan peranan penting dalam masyarakat kita sebagai peneraju moral,etika dan kerohanian.

“Semoga Allah SWT terus memberkati usaha murni ini dan semoga al-Quran terus menjadi cahaya yang menerangi setiap langkah kita sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia,” katanya.

Majlis Himpunan 24K Huffaz semalam mengumpulkan huffaz dari seluruh negara,antaranya pelajar dan guru tahfiz serta alim ulama dari 1,500 madrasah tahfiz al-Quran yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA).

Himpunan berkenaan dicetuskan semula oleh Ahmad Zahid dengan matlamat untuk meletakkan agenda pengislahan generasi masa hadapan,dengan mengutamakan pendidikan al-Quran sebagai asas penting.

Objektif lain himpunan itu adalah untuk memartabatkan al-Quran,mengukuhkan silaturahim,mendidik,menginspirasi serta memperkasakan generasi berasaskan nilai-nilai al-Quran untuk manfaat sosial masyarakat dan negara.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap