Pihak berterusan manipulasi isu agama, perkauman tidak bertanggungjawab

2024-09-16 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA,16 September - Pihak yang berterusan memanipulasi isu keagamaan serta perkauman sebagai senjata untuk melemahkan pihak yang tidak sealiran merupakan golongan tidak bertanggungjawab,kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata perbuatan seumpama itu akan menyebabkan rakyat menjadi mangsa keadaan kerana dihidangkan dengan berita fitnah,adu domba serta maki hamun yang memecahbelahkan silaturahim.

“Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada hari ini membawa satu makna besar kepada umat Islam untuk menghayati serta mengamalkan segala intipati ajaran yang telah ditinggalkan Rasulullah SAW berasaskan ilmu dan hikmah.

“Antara sifat kenabian Baginda Rasulullah SAW iaitu siddiq (benar),amanah,tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana) merupakan rencah lengkap dalam menggapai Al-Falah sebagai muslim sejati,” katanya dalam ucapan menjunjung kasih sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024/1446H di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis memperingati kelahiran Rasulullah SAW yang bertemakan "Al-Falah Pemacu Malaysia Madani" itu. Turut hadir Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri,Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mohd Na’im berkata negara memerlukan kompas tersendiri dalam menghargai keunikan kepelbagaian budaya,kaum dan agama.

Justeru,beliau berkata semangat perpaduan dalam kemajmukan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara akan membentuk acuan jati diri yang berjiwa patriotik,bertoleransi dan bertanggungjawab untuk memperkukuh kesejahteraan masyarakat yang menjadi nilai teras Malaysia MADANI.

Berkongsi pengisian sambutan itu,beliau berkata buat julung kalinya kerajaan MADANI menganjurkan program Malam Cinta Rasul 2024 yang menampilkan pengisian ceramah daripada Mufti Selangor Datuk Anhar Opir,Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman,Timbalan Mufti Sabah Datuk Abdul Manap Lakariba serta Habib Ali Zainal Abidin.

Mohd Na’im berkata program itu bertujuan menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah SAW bersesuaian dengan wadah yang dibawa Perdana Menteri yang mahu terus memakmurkan syiar Islam di negara ini.

Malam Cinta Rasul 2024 yang berlangsung di Dataran Putra malam tadi telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri kira-kira 50,000 orang.

Mohd Na’im turut mengajak kira-kira 6,000 tetamu yang hadir majlis sambutan ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW untuk bersama-sama mendoakan saudara seagama di Palestin agar diberikan kesejahteraan dan keselamatan.

“Dalam keceriaan yang berwarna-warni,ayuh kita terus bersatu hati mendoakan rakyat Palestin yang sedang menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan,Kuala Lumpur agar dikurniakan kesihatan dan kesembuhan,” katanya. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap