Agong berkenan luang masa bertemu diaspora Malaysia di China

2024-09-21 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Agong berkenan luang masa bertemu diaspora Malaysia di China


BEIJING,21 September - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan untuk meluangkan masa bertemu diaspora Malaysia di China.

Sultan Ibrahim yang sedang melakukan Lawatan Negara pertama Seri Paduka Baginda ke China atas jemputan Presiden Xi Jinping bermula dari 19 hingga 22 September,berangkat pada majlis yang diadakan di sebuah hotel pada 10 pagi.

Turut hadir Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar,Menteri Pengangkutan Anthony Loke,Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming,Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zain dan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.

Lebih 300 diaspora Malaysia yang hadir antaranya ahli perniagaan,penuntut universiti dan warga kedutaan Malaysia ke China.

Majlis santapan hampir sejam itu turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan tradisional negara China.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis Seri Paduka beramah mesra dan bersalaman dengan diaspora Malaysia.

Seri Paduka Baginda juga sempat bertanya khabar rakyat Malaysia,yang teruja untuk bertentang mata dengan Ketua Utama Negara Malaysia.

Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong ini mencerminkan keutuhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan China yang kian berkembang pesat,sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada 2013.

Lawatan Negara ini bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Yang di-Pertuan Agong ke China dalam tempoh 10 tahun,menandakan satu detik penting bagi kedua-dua negara yang merayakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

Hari ini Sultan Ibrahim juga dijadual berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknologi Pesawat Awam Beijing COMAC bagi meninjau perkembangan teknologi penerbangan China yang terkini.

Seri Paduka Baginda dijadual berangkat pulang ke Malaysia esok.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap