Pengganti Chow untuk terajui DAP Pulau Pinang diketahui hari ini

2024-09-22 berita.rtm.gov.my HaiPress

Chow Kon Yeow berucap pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Pulau Pinang / FOTO FB Teh Lai Heng

GEORGE TOWN,22 September- Persoalan mengenai bakal pengganti Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow akan terjawab pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Pulau Pinang di sini hari ini.

Walaupun difahamkan Chow akan kekal sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang hingga akhir penggal ini,namun Pengerusi DAP negeri baharu akan menggalas tugas membuat persediaan menuju pilihan raya umum seterusnya.

Konvensyen hari ini turut menjadi hangat apabila terdapat desas-desus mengatakan Menteri Sumber Manusia Steven Sim bakal menerajui DAP Pulau Pinang manakala Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying terus berkhidmat sebagai Setiausaha DAP negeri dengan formula "kombinasi Sim–Lim" yang turut dikatakan mendapat restu pemimpin utama parti.

Sim dan Lim juga merupakan antara 31 individu yang bertanding untuk merebut 15 jawatan Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang bagi penggal 2024/2027,selain Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai,Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye.

Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia SPICE Arena,Bayan Lepas pagi ini bertemakan "Kekal Harapan,Kukuh Perpaduan".

Konvensyen DAP Pulau Pinang tahun ini turut menarik perhatian berikutan Chow yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang dalam pemilihan parti kali ini.

Chow,Ketua Menteri Pulau Pinang kelima,mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri itu pada 2018 sebelum mengangkat sumpah untuk penggal kedua pada 13 Ogos tahun lepas.

Pada pemilihan parti negeri 2021,Chow dipilih menjadi Pengerusi DAP negeri dengan undian tertinggi,iaitu majoriti 1,211 undi.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap