Kerajaan Malaysia tidak abaikan pencarian MH370

2024-11-05 HaiPress

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,5 November- Kerajaan Malaysia berpendirian konsisten dan tidak pernah mengabaikan usaha mencari bangkai pesawat MH370.

Menteri Pengangkutan,Anthony Loke berkata sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh,kerajaan akan mempertimbangkan operasi pencarian selanjutnya.

Ketika ini,Kementerian Pengangkutan sedang merundingkan tawaran daripada syarikat 'Ocean Infinity' yang dikemukakan pada bulan Jun tahun ini untuk meneruskan operasi pencarian dasar laut.

Tawaran itu bertujuan mengesan bangkai pesawat berkenaan di satu lokasi baharu di selatan Lautan Hindi berdasarkan perjanjian 'tiada penemuan,tiada bayaran'.

Mengikut perjanjian tersebut,kerajaan Malaysia tidak perlu membayar kepada syarikat tersebut sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat ditemui.

"Lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan oleh syarikat 'Ocean Infinity' adalah berasaskan maklumat dan analisis data terkini oleh pakar-pakar serta penyelidik yang dirujuk oleh syarikat tersebut.

"Cadangan operasi pencarian oleh 'Ocean Infinity' ini adalah cadangan yang kukuh dan boleh dipertimbangkan oleh kerajaan Malaysia sebagai negara pendaftaran pesawat MH370," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Wakil Kampar,Chong Zhemin,yang ingin mengetahui sama ada kerajaan masih berhasrat meneruskan usaha mencari pesawat MH370.

Dalam perkembangan lain,Loke berkata kerajaan bersetuju untuk menjadikan inisiatif FLYsiswa sebagai inisiatif tahunan Kementerian Pengangkutan.

Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 September lalu.

Keputusan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengukuhkan integrasi wilayah antara Semenanjung Malaysia,Sabah,Sarawak,dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Setakat 4 November ini,daripada 52,030 mahasiswa yang layak,seramai 35,183 telah menebus baucar FLYsiswa.

"Daripada jumlah mahasiswa yang layak mendapat bantuan FLYsiswa pada tahun 2024,42.7 peratus (22,226) adalah berasal dari Sabah manakala 36.8 peratus (19,171) berasal dari Sarawak.

"Di kalangan mahasiswa yang berasal dari Sabah,17,388 sedang belajar di universiti awam,politeknik dan kolej komuniti,matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di Semenanjung,3,433 di Sarawak dan 1,405 di Wilayah Persekutuan Labuan.

"Untuk mahasiswa yang berasal dari Sarawak pula,16,027 sedang belajar di Semenanjung,2,716 di Sabah dan 428 di Wilayah Persekutuan Labuan," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengenai keselamatan penumpang penerbangan,kementerian melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia sentiasa memastikan pihak berkaitan dalam industri penerbangan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.

Ini bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa diutamakan melalui pelbagai langkah keselamatan,termasuk di lapangan terbang,operasi pesawat,dan penumpang.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap