Projek pembinaan MRT3 akan bermula pada 2027

2024-11-19 HaiPress

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR,18 November- Pembinaan di tapak projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) hanya dijangka bermula pada 2027 iaitu setelah Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menyelesaikan proses pemerolehan tanah.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim berkata ketika ini proses berkenaan sedang berjalan dengan pemeriksaan awam akan dilaksanakan hingga 2 Disember ini.

Beliau berkata selepas daripada itu,baru pihaknya boleh memuktamadkan laluan dan memulakan proses pemerolehan tanah yang dijangka mengambil masa 24 bulan iaitu hingga 2026.

“Kami (MRT Corp) berharap menjelang 2027,Kerajaan akan mempunyai cukup kapasiti untuk meneruskan projek ini. Itu sasaran peribadi saya tetapi ia bergantung kepada keadaan ekonomi.

“Seperti yang kita tahu ekonomi semakin pulih,jadi beri masa beberapa tahun lagi dan saya rasa ia akan jadi landasan kukuh untuk kita memulakannya,” katanya dalam sidang media sempena Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia 2024 (MCIEA 2024).


MCIEA tahun ini mengiktiraf lima kategori berprestij iaitu Anugerah Tokoh Terkemuka,Anugerah Jurubina Terbaik (Kontraktor G7),Anugerah Pencapaian Antarabangsa,Anugerah Projek Terbaik dan Anugerah Kontraktor Terbaik.

MRT Corp meraih Anugerah Projek Terbaik bagi Infrastruktur (Kategori Utama) untuk projek Transit Aliran Massa Lembah Klang: Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya.

MRT3,yang juga dikenali sebagai Laluan Lingkaran akan menjadi komponen terakhir bagi rangkaian MRT Lembah Klang,menghubungkan pelbagai stesen transit aliran massa dan aliran ringan (LRT) dalam kawasan ibu negara bagi membentuk rangkaian yang menyeluruh.

Laluan rel sejauh 51 kilometer itu mampu menampung 25,000 penumpang sejam bagi setiap arah,dengan perjalanan penuh di MRT3 mengambil masa lebih kurang 73 minit atau di bawah satu jam 15 minit. -BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap