Polisi 'off-take' perkukuh bekalan ubat tempatan

2024-11-19 HaiPress

Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR,19 November- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang merangka polisi off-take bertujuan memperkukuh kapasiti pengeluaran ubat-ubatan tempatan sebagai usaha memastikan keterjaminan bekalan ubat negara.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu selaras mandat yang diberikan kepada KKM sebagai peneraju inisiatif ASEAN untuk menjamin keterjaminan ubat-ubatan di peringkat serantau.

"KKM sedang bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem farmaseutikal negara,termasuk dalam penemuan,kajian pra-klinikal dan klinikal,pengilangan,pengedaran,serta aspek lain. Kerjasama ini melibatkan pelbagai kementerian,agensi awam dan sektor swasta khususnya pemain industri.

"Melalui sesi libat urus,KKM mengenal pasti kekuatan dan kelebihan industri farmaseutikal tempatan untuk disyorkan dalam pembangunan pelan tindakan dan pelaksanaan kolaborasi strategik ASEAN Drug Security and Self-Reliance (ADSSR),” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof di Dewan Rakyat,hari ini.

Dalam pada itu,beliau memaklumkan sejumlah RM23.25 bilion telah dibelanjakan untuk pembelian ubat-ubatan dari tahun 2015 hingga 2022,menunjukkan peningkatan perbelanjaan sebanyak 30 peratus dalam tempoh lapan tahun berbanding RM2.3 bilion pada 2015.

"Peningkatan peruntukan ini selari dengan kenaikan harga ubat-ubatan,pertambahan bilangan pesakit,dan penggunaan ubat-ubatan baharu yang lazimnya masih dalam tempoh paten serta berharga lebih tinggi.

"KKM turut mengunjurkan jumlah perbelanjaan bagi keperluan ubat-ubatan di fasiliti kesihatan akan terus meningkat setiap tahun," jelasnya.

Langkah strategik itu diharap mampu memastikan bekalan ubat-ubatan negara berada pada tahap optimum untuk memenuhi keperluan rakyat.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap