Tema pengerusi ASEAN 2025 Malaysia cabar sistem pinggir negara sedang membangun

2024-12-02 HaiPress

Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR,2 Disember - Tema Kepemimpinan ASEAN 2025 Malaysia “Keterangkuman dan Kelestarian” mewakili cabaran langsung kepada sistem yang meminggirkan negara sedang membangun.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata visi Malaysia terhadap pemusatan ASEAN menunjukkan bagaimana wilayah di Selatan Global boleh mengekalkan kemerdekaan dan pada masa yang sama terlibat secara konstruktif dengan kuasa global.

“ASEAN muncul sebagai contoh bagaimana perkongsian Selatan-Selatan boleh menampilkan peraturan pelbagai hala yang lebih saksama,” katanya dalam ucaptama pada Forum Tindakan Bersama (CAF) 2024,di sini hari ini.

Anwar berkata apabila dunia semakin tidak menentu,Malaysia mesti menggunakan setiap platform serantau dan antarabangsa yang ada untuk menangani kebimbangan bersama secara langsung dengan rakan kongsi utama.

Beliau berkata penglibatan Malaysia dengan BRICS adalah berdasarkan pengiktirafan negara bahawa,sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana atas yang semakin meningkat,ia berkongsi kebimbangan ekonomi bersama dengan kuasa ekonomi yang semakin meningkat.

"Negara-negara seperti Brazil,Rusia,India,China,Afrika Selatan dan ahli BRICS yang lain mewakili peluang pasaran yang besar," katanya.

Ketika susunan global yang lahir daripada Perang Dingin mulai runtuh,Anwar menekankan keperluan untuk kewujudan multilateralisme lebih teguh dan berbeza secara asasnya,yang memerlukan peraturan global yang mengutamakan pembangunan saksama,suara yang tulen untuk negara membangun,dan langkah tegas terhadap jenayah kemanusiaan.

"Ada kuasa besar yang menghalang kemajuan,namun cabaran yang dihadapi manusia - sama ada bencana iklim atau kemiskinan - ia hanya boleh diselesaikan secara kolektif. Tidak ada negara boleh melakukannya sendirian," katanya.

Untuk menjadikan dunia tempat yang lebih adil,Anwar berkata Malaysia dan negara-negara yang berfikiran sama memerlukan rakan kongsi yang teguh dan boleh dipercayai yang berdiri di samping mereka.

"Inilah sebabnya Malaysia telah berusaha untuk menjalin hubungan yang lebih kukuh dengan pejuang multilateralisme,dipandu oleh dasar luar negeri diperbaharui yang berakar umbi dalam keterangkuman dan keadilan," katanya.

Anwar berkata Selatan Global menghadapi cabaran yang dibentuk oleh dasar-dasar yang dibuat tanpa penyertaan sepenuhnya,dengan menyatakan bahawa kesan iklim,konflik,ketidakstabilan ekonomi dan kitaran hutang,semuanya telah diburukkan oleh pengecualian ini.

Beliau mengetengahkan empat bidang utama yang memerlukan pembaharuan segera: kerangka bentuk kewangan antarabangsa,sistem perdagangan antarabangsa,kewangan iklim dan keadilan iklim,dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Masa untuk langkah separuh jalan dan perubahan tambahan telah berlalu. Pilihan di hadapan kita adalah jelas: teruskan dengan sistem yang meminggirkan sebahagian besar manusia,atau membina susunan baharu berasaskan perkongsian tulen,kemakmuran bersama dan pembangunan mampan," katanya. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap