Thailand: Pelancong Malaysia hanya dibenarkan guna tiga pintu masuk dari Kelantan

2024-12-23 IDOPRESS

Pihak berkuasa Thailand hanya membenarkan pelancong dari Malaysia menggunakan tiga pintu masuk sah untuk ke negara itu / Foto Hiasan / Bernama

SONGKHLA,22 Disember –Pihak berkuasa Thailand hanya membenarkan pelancong dari Malaysia menggunakan tiga pintu masuk sah untuk ke negara itu susulantindakan tegas polis Malaysia di Kelantan melarang penggunaan jeti haram untuk merentas sempadan.

Komander Tentera Bahagian Keempat Thailand,Mejar Jeneral Paisan Nusang berkata tiga pintu masuk yang dibenarkan adalah Sungai Golok di Rantau Panjang,Tak Bai di Pengkalan Kubor dan Buketa di Bukit Bunga.

"Ini adalah undang-undang dan peraturan yang orang ramai perlu terima dan patuhi untuk menjadi warga yang baik. Ada tiga laluan sah untuk mereka merentas sempadan: Buketa,Sungai Golok,dan Tak Bai.

“Kami tahu peraturan ini menjejaskan aktiviti harian penduduk di sempadan,namun ia penting untuk mematuhi undang-undang,” katanya dalam satu temubual khas bersama media Malaysia di Songkhla,pada Sabtu.

Menurut Paisan,penguatkuasaan larangan rentas sempadan melalui laluan tidak sah sejak 1 Disember lalu telah memberi impak positif dalam menangani aktiviti penyeludupan.

Katanya,kerajaan Thailand turut menegaskan keperluan menggunakan pintu masuk rasmi bagi tujuan rentas sempadan dan bercadang untuk membincangkan isu tersebut dengan rakan sejawat di Kelantan dalam masa terdekat.

Sementara itu,Paisan turut mengulas penahanan empat warganegara Thailand oleh pihak berkuasa Malaysia dan menyatakan tindakan lanjut akan diambil setelah siasatan selesai.

Tentera Thailand kini telah meningkatkan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan bagi memastikan pematuhan terhadap penguatkuasaan yang dilaksanakan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap