Aktiviti penyeludupan barangan di sempadan Kelantan berkurangan

2024-12-23 IDOPRESS

Azman Ismail

KOTA BHARU,23 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mendapati aktiviti penyeludupan di pangkalan haram sepanjang Sungai Golok berkurangan selepas penguatkuasaan larangan rentas sempadan melalui laluan tidak sah sejak 1 Disember lepas.


Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata,tindakan tersebut merupakan satu bentuk penegasan dilaksanakan pihak polis dan memberi impak positif dalam menangani aktiviti penyeludupan.

"Pasukan Gerakan Am (PGA),polis,kastam dan imigresen di kawasan sempadan sangat membantu dalam mengekang aktiviti penyeludupan haram.

"Pihak kami pun turun untuk melakukan rondaan di kawasan sama. Penyeludupan di sempadan amat berkurang,masih ada tetapi bukan 100 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 (SHMMP KMS 2024) di sebuah pasar raya di sini.

Pada November lalu,Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengumumkan larangan merentas sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan ke atas mana-mana individu yang menggunakan laluan haram untuk ke Golok,Thailand berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Sementara itu sebanyak 1,025 tindakan kes dihasilkan KPDN Kelantan melibatkan pelbagai kesalahan dalam tempoh Januari hingga November tahun ini.

Azman Ismail berkata,jumlah tersebut membabitkan nilai rampasan lebih RM6.8 juta dan kompaun lebih RM245,000 kepada peniaga bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Rekod tersebut melibatkan 79,242 pemeriksaan dilaksanakan di seluruh negeri itu,antaranya membabitkan kesalahan penyelewengan,penyeludupan,barangan tiruan dan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum.

"Kita ada 210 tangkapan yang kita tangkap untuk tahun 2024. Tetapi yang banyaknya di kawasan sempadan seperti Tumpat,Pasir Mas,Rantau Panjang,Tanah Merah.

"Kawasan berkenaan merupakan titik panas berikutan hampir dengan sempadan," katanya lagi.


SHMPP KMS 2024 itu dikuatkuasakan selama lima hari bermula hari ini hingga 27 Disember membabitkan sembilan jenis barangan antaranya daging kambing biri-biri bertulang,tomato dan bawang merah besar import.


Penentuan harga tersebut dibuat bagi menjaga kepentingan pengguna dan memastikan rakyat dapat menikmati harga barang munasabah.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap