Malaysia komited perkukuh hubungan dagang dengan Sweden dan Arab Saudi
2025-04-08 IDOPRESS
Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri,Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz / Foto Hiasan / Bernama
KUALA LUMPUR,8 April – Malaysia komited untuk memperkukuh hubungan perdagangan dua hala dan kerjasama ekonomi dengan pelbagai negara,termasuk Sweden dan Arab Saudi,dalam usaha memperluas jaringan ekonomi global.
Menteri Pelaburan,Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Sweden mencecah RM3.58 bilion,sekali gus mencerminkan hubungan ekonomi yang erat antara kedua-dua negara.
Menurut beliau menerusi satu hantaran di laman sosial,Malaysia kini merupakan antara lokasi pelaburan utama bagi Sweden,dengan sebanyak 97 projek perkilangan bernilai RM7.77 bilion dilaksanakan setakat tahun lalu.
“Pelaburan ini telah berjaya mewujudkan lebih 5,900 peluang pekerjaan,” katanya.
Tambahnya lagi,syarikat terkenal dari Sweden seperti Spotify,Ericsson,Volvo dan IKEA telah pun beroperasi di ibu negara,sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan.
Dalam hantaran berasingan,Tengku Zafrul turut menyatakan hasrat Malaysia untuk meningkatkan kerjasama dengan Arab Saudi selaras dengan pelaksanaan Wawasan 2030 negara berkenaan.
Menurut beliau,Malaysia memiliki kepakaran dalam bidang pembinaan,pengurusan hospitaliti dan teknologi yang boleh menyokong pelaksanaan Wawasan 2030 Arab Saudi.
Dalam mesyuarat secara dalam talian bersama Menteri Perdagangan Arab Saudi,Dr. Majid Al-Kassabi,Malaysia turut menyatakan kesediaan membantu Arab Saudi menjadi pusat kewangan Islam global,di samping membangunkan industri halal,tenaga bersih dan ekonomi digital.