Sektor tenaga kerja,industri eksport utama dijangka terkena tempias kesan tarif AS

2025-05-06 IDOPRESS

Foto Bernama

KUALA LUMPUR,6 Mei – Pelaksanaan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap Malaysia dijangka memberi kesan terhadap landskap sosial dan ekonomi negara,khususnya yang membabitkan sektor tenaga kerja dan industri eksport utama .

Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi Dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr. Nur Azam Anuarul Perai,antara impak paling ketara ialah terhadap golongan pekerja asing yang membentuk majoriti tenaga kerja di sektor perkilangan.

“Jika mereka kekal berada dalam negara tanpa pekerjaan,ia boleh menimbulkan isu sosial yang lebih besar,” katanyaketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di sini.

Justeru pihak majikan bertanggungjawab memastikan kebajikan pekerja asing terjamin,termasuk kemungkinan mereka dihantar pulang,atau kerajaan mengambil langkah menamatkan visa bagi mengelakkan beban berlebihan kepada negara.

Turut dijangka terkena tempias kesan pelaksanaan tarif berkenaan ialah sektor elektrik dan elektronik (E&E),khususnya semikonduktor.

“Penurunan eksport ke Amerika jelas menjejaskan sektor E&E,namun selagi pasaran utama lain seperti China dan India kekal stabil,impak terhadap industri secara keseluruhan masih boleh dikawal,” jelasnya.

Tambah beliau,selagi sektor lain tidak terjejas,kesan terhadap jurang sosial dapat diminimumkan kerana pekerja dalam industri yang stabil masih mampu mengekalkan kehidupan sedia ada.

Dr. Nur Azam turut mengingatkan bahawa ketidakpuasan rakyat terhadap kesan kenaikan tarif berpotensi dimanipulasi sebagai isu politik.

Sehubungan itu,beliau menyarankan kerajaan memainkan peranan untuk mengelakkan ketegangan sosial dan politik.

“Kerajaan perlu tampil dengan sokongan dan bantuan,sama ada dalam bentuk peluang pekerjaan baharu mahupun bantuan sosial,agi meringankan beban rakyat dalam tempoh penyesuaian ini,” katanya lagi.

Pada masa sama beliau turut menyentuh soal pemberian subsidi yang menurutnya sering menjadi beban kepada kewangan negara. Namun,katanya pemberian subsidi itu penting sekiranya disalurkan tepat kepada golongan sasar.

“Subsidi adalah bentuk kebocoran (leakage),tetapi jika sampai kepada yang layak,ia boleh membantu menjamin keperluan asas rakyat seperti harga barangan yang terkawal dan berpatutan,” tambah beliau.

Bagi sektor industri pula,Dr. Nur Azam menyarankan agar tumpuan diberikan kepada pelan jangka panjang seperti pengembangan pasaran baharu,selain pelaksanaan inisiatif jangka pendek termasuk bantuan tunai,insentif cukai dan sokongan operasi kepada syarikat perkilangan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap