PM bertemu Mufti Besar Rusia, erat komuniti Islam antara dua negara

2025-05-15 IDOPRESS

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR,15 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Mufti Besar Rusia,Sheikh Ravil Gaynutdin yang juga Pengerusi Lembaga Agama Islam Persekutuan Rusia dan delegasi,selepas bertemu dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Moscow.

Menerusi hantaran di Facebook,Datuk Seri Anwar berkata pertemuan itu membuka ruang mempererat ukhuwah antara dua komuniti Islam merentasi sempadan geografi dan perbezaan budaya,di samping menjalin hubungan dengan lebih 25 juta umat Islam di Rusia yang hidup dalam pelbagai aliran dan tradisi.

"Kami bertukar pandangan mengenai pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama termasuk usaha memperkukuh institusi Islam,memperluas pertukaran kepakaran,serta memperkasa industri halal di Rusia dengan memanfaatkan kelebihan Malaysia sebagai peneraju pensijilan halal yang diiktiraf dunia.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif Sheikh Ravil dalam mempromosi keharmonian antara agama dan membina persefahaman dalam masyarakat majmuk Rusia.

"Ini adalah usaha yang amat berharga dalam dunia yang semakin dicalari perpecahan,kebencian dan prejudis.

Sebagai tanda persahabatan dan usaha dakwah,Perdana Menteri menghadiahkan senaskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa Rusia kepada Sheikh Ravil,selari dengan aspirasi MADANI mewakafkan sejuta al-Quran ke seluruh dunia demi memperluas kefahaman terhadap ajaran Islam dan menangkis gelombang Islamofobia.

"Sebagai balasan penuh makna,Sheikh Ravil turut menghadiahkan saya senaskhah al-Quran mushaf Uthmani dari Uzbekistan yang punyai sejarah panjang dan menjadi simbol kelangsungan ilmu serta warisan keindahan Islam yang merentasi benua dan generasi",kata Datuk Seri Anwar menerusi hantaran di Facebook.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap