LHDN laksana fasa ketiga e-Invois
2025-07-03 HaiPress
Shaharrudy Othman (tengah)
CYBERJAYA,1 Julai- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini melaksanakan fasa ketiga sistem e-Invois,melibatkan pembayar cukai yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan antara RM5 juta hingga RM25 juta.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN,Shaharrudy Othman berkata,pihaknya menjangkakan 55,000 pembayar cukai melaksanakan e-Invois dalam fasa itu.
"Lebih 5,400 pembayar cukai sudah melaksanakan fasa satu sistem e-Invois bermula 1 Ogos 2024,manakala untuk fasa dua,sekitar 13,000 pembayar cukai melaksanakan e-Invois sejak 1 Januari lalu.
"Kita berharap,kadar penyertaan itu sama seperti fasa satu dan dua. Sehingga kini,352 juta e-Invois sudah dikemukakan pembayar cukai," katanya pada sidang media selepas melancarkan e-Invois Bagi Pembayar Cukai Fasa 3 di sini.
Tambah beliau,pelaksanaan fasa keempat dan kelima akan melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan tahunan melebihi RM1 juta hingga RM5 juta bermula 1 Januari 2026.
Manakala bagi kumpulan berpendapatan sehingga RM1 juta,pelaksanaan akan bermula pada 1 Julai 2026.
Dalam pada itu,LHDN turut melancarkan Sistem MyInvois e-POS iaitu satu platform digital Point-of-Sale (POS) yang disediakan secara percuma.
Ia bagi memperkasakan pelaksanaan e-Invois terutama kepada perusahaan mikro,kecil dan sederhana (PMKS).
"Sistem ini direka khusus untuk PMKS yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan bawah RM750,000,bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois dalam kalangan mereka",
“Sistem MyInvois e-POS ini direka khas untuk PMKS bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois dengan mengintegrasi fungsi utama perniagaan seperti perekodan jualan,pengurusan inventori,pelaporan kewangan dan sokongan e-Invois. Sistem ini juga bertujuan membantu PMKS meningkatkan kecekapan operasi perniagaan serta memudahkan pelaksanaan e-Invois,” katanya lagi.
LHDN turut mempelawa pembayar cukai yang layak dan berminat untuk mendaftar bagi menggunakan Sistem MyInvois e-POS,yang kini telah dibuka untuk pendaftaran.
Selain itu,LHDN juga menyediakan Sistem dan Portal MyInvois serta Aplikasi MyInvois secara percuma bagi membolehkan pembayar cukai melaksanakan e-Invois dengan lebih mudah dan menyeluruh,terutamanya dalam menyokong golongan PMKS.