Kerajaan tubuh enam pasukan petugas teknikal nuklear
2025-07-30 HaiPress
Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi,Chang Lih Kang
KUALA LUMPUR,30 Julai - Kerajaan akan menubuhkan enam Pasukan Petugas Teknikal bagi merangka langkah susulan pembangunan sektor tenaga nuklear.
Ia susulan kajian prakebolehlaksanaan tenaga berkenaan sebagai sumber penjanaan elektrik yang telah disiapkan.
Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI),Chang Lih Kang berkata,tiga daripada pasukan berkenaan dipertanggungjawabkan di bawah kementeriannya.
"Tiga pasukan petugas teknikal telah dipertanggungjawabkan kepada MOSTI melibatkan yang pertama teknologi dan pembangunan industri yang kedua pembangunan kompetensi dan kepakaran nuklear yang ketiga rangka kerja perundangan dan kawal selia.
"Malaysia kini memiliki 323 pegawai penyelidik di Agensi Nuklear Malaysia dan 36 pegawai sains di Jabatan Tenaga Atom yang terlibat dalam pelbagai bidang berkaitan teknologi nuklear," katanya.
Penyataan bagi menjawab soalan Tan Kar Hing (PKR-Gopeng) di Dewan Rakyat,hari ini.
Menurut beliau lagi,usaha itu mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkasa kepakaran tempatan untuk menjayakan pembangunan tenaga nuklear secara selamat,beretika dan berpandukan piawaian antarabangsa.