Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar

2025-07-30 HaiPress

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR,30 Julai - Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu susulan peniaga mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadual berlangsung malam ini,kata seorang penganalisis.

Pada jam 8 pagi,mata wang tempatan berada pada 4.2300/2400 berbanding dolar AS daripada 4.2320/2365 ketika ditutup semalam.

Dilaporkan bahawa FOMC dijangka akan tidak akan mengubah kadar faedah dan tumpuan akan diberikan sama ada Pengerusi Fed (Rizab Persekutan) AS Jerome Powell akan memberi sebarang petunjuk penurunan kadar faedah untuk September.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat kepada 98.886 mata kerana pasaran membuat persediaan bagi menghadapi keputusan FOMC.

Beliau berkata data AS terus memberi gambaran yang bercampur-campur dengan Tinjauan Tawaran Pekerjaan dan Pemberhentian Kerja (JOLTS) melaporkan bahawa bilangan pembukaan pekerjaan pada Jun turun kepada 7.44 juta daripada 7.51 juta pada bulan sebelumnya,lebih rendah daripada anggaran konsensus sebanyak 7.71 juta.

Sementara itu,Indeks Keyakinan Pengguna Lembaga Persidangan AS melonjak kepada 97.2 mata pada Julai daripada 95.2 mata sebelumnya,kebimbangan terhadap harga lebih tinggi disebabkan import,bagaimanapun kekal paling utama dalam kalangan pengguna AS,katanya.

"Apa yang dimaksudkan kepada pasaran pertukaran asing adalah mungkin terdapat sokongan untuk DXY kerana Fed AS tidak mungkin mengurangkan kadar faedah serta-merta," katanya.

Selain itu,Mohd Afzanizam berkata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyemak unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global 2025 kepada 3.0 peratus daripada 2.8 peratus.

Begitu juga,bagi Malaysia,unjuran pertumbuhan ekonomi telah dinaikkan kepada 4.5 peratus daripada 4.1 peratus.

"Ini menunjukkan bahawa kesan daripada kejutan tarif AS akan dapat diurus secara adil. Justeru,ringgit berbanding dolar US akan berada dalam lingkungan RM4.23 kepada RM4.24 apabila peniaga menggunakan pendekatan tunggu dan lihat semasa mesyuarat FOMC berlangsung," katanya.

Pada pembukaan dagangan,ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama,bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8498/8570 daripada 2.8479/8511 ketika ditutup pada Selasa.

Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.6483/6617 daripada 5.6518/6578 semalam dan menokok berbanding euro kepada 4.8861/8976 daripada 4.8990/9042 sebelumnya.

Dalam pada itu,ringgit bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia hampir tidak berubah berbanding rupiah Indoneisa pada 257.7/258.5 daripada 257.8/258.2 semalam,menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.2842/2922 daripada 3.2875/2913,meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.37/7.40 daripada 7.38/7.39,tetapi merosot berbanding baht Thailand kepada 13.0556/0969 daripada 13.0537/0740 sebelum itu.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap