Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS pada sesi awal urus niaga

2025-08-05 HaiPress

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,5 Ogos - Ringgit meneruskan lagi pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal urus niaga hari ini ketika sentimen pelabur terhadap aset berisiko pulih susulan kemungkinan negara maju itu menurunkan kadar faedahnya,kata ahli ekonomi.

Pada 8 pagi,ringgit meningkat kepada 4.2260/2395 berbanding dolar AS daripada 4.2350/2385 pada akhir urus niaga semalam.

Bercakap kepada Bernama,Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd,Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS terus merosot apabila peserta pasaran terus memberi reaksi terhadap data pasaran tenaga kerja yang lemah pada Jumaat lepas yang hanya menguatkan lagi potensi penurunan kadar faedah.

“Mata wang negara sedang pesat membangun dilihat berada dalam kedudukan lebih menarik berbanding dolar AS ketika bank pusat AS dilihat cenderung mengurangkan kadar faedah.

“Ini dijangka melibatkan pengurangan kadar sebanyak 25 mata asas yang akan diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada September,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata ringgit diunjur bergerak dalam dalam julat 4.22 hingga 4.23 berbanding dolar AS berikutan sentimen yang positif.

Selain itu,ringgit juga kebanyakannya diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama lain pada sesi dagangan awal.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding yen Jepun kepada 2.8795/8889 daripada 2.8652/8677 pada Isnin namun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6197/6377 daripada 5.6296/6342 dan naik berbanding euro kepada 4.8954/9110 daripada 4.8978/9018.

Dalam pada itu,ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang serantau.

Ini termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2841/2949 semalam pada 3.2878/2908 namun rendah berbanding baht Thailand kepada 13.0747/1229 daripada 13.0452/0616.

Ringgit naik berbanding peso Filipina kepada 7.36/7.39 daripada 7.38/7.39 semalam dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 257.6/258.5 daripada 258.2/258.5. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap