Belanjawan 2026: Tiga tonggak Madani perkukuh ekonomi domestik
2025-08-11 HaiPress
Pensyarah Kanan Putra Business School,Dr. Ida Md Yasin
KUALA LUMPUR,10 Ogos – Tumpuan kepada tiga tonggak utama MADANI dalam Belanjawan 2026 selari dengan hasrat yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurut Pensyarah Kanan Putra Business School,Dr. Ida Md Yasin,fokus terhadap usaha menaikkan siling pertumbuhan negara,meningkatkan lantai taraf hidup rakyat,serta memacu pembaharuan dan tatakelola yang baik mencerminkan dasar berasaskan keperluan rakyat.
“Kita mahu meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat,khususnya golongan berpendapatan rendah. Ini membuktikan kerajaan sangat prihatin terhadap kesejahteraan rakyat dan berusaha meningkatkan tahap ekonomi serta kualiti hidup mereka.
“Apabila ekonomi semakin baik,rakyat akan turut merasai manfaatnya,dan taraf hidup keseluruhan akan meningkat. Inilah yang diharapkan daripada Ekonomi MADANI yang akan diteruskan dalam Belanjawan 2026,” katanya ketika dihubungi RTM.
Tambah beliau,penekanan terhadap pengukuhan ekonomi domestik mampu menyokong pertumbuhan negara meskipun berdepan cabaran luaran.
Ini terutamanya melalui tiga faktor utama iaitu perbelanjaan isi rumah,pelaburan sektor swasta dan pelaburan kerajaan.
“Maksud ekonomi domestik ialah perbelanjaan yang berlaku dalam negara,contohnya perbelanjaan rakyat kita sendiri. Apabila kita berbelanja dalam negara,kita menyokong ekonomi negara.
“Yang kedua ialah perbelanjaan sektor swasta. Apabila sektor swasta mengembangkan perniagaan,mereka akan membeli mesin-mesin dan mengambil pekerja,sekali gus memainkan peranan besar dalam pelaburan domestik,” jelasnya.
Tambah Dr. Ida,pelaburan kerajaan melalui pembinaan jalan raya,landasan kereta api,hospital dan sekolah turut merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau turut menekankan keperluan memperluas promosi pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong.
Pelaksanaannya memberi manfaat kepada pelbagai industri termasuk perhotelan,makanan,peruncitan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kedatangan pelancong turut memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,khususnya di negeri-negeri seperti Terengganu,Sabah dan Sarawak,melalui perbelanjaan mereka di restoran,hotel,pusat membeli-belah dan perkhidmatan ejen pelancongan,” katanya.
Sebelum ini,Kementerian Kewangan menerusi kenyataan memaklumkan Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan pada Oktober ini akan memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama MADANI.