Ketua Penasihat Bangladesh terima sambutan penuh istiadat di Putrajaya
2025-08-12 HaiPress
Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh,Prof Dr Muhammad Yunus,diberi sambutan penuh istiadat di Kompleks Perdana Putra sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia / Foto BERNAMA
PUTRAJAYA,12 Ogos – Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh,yang kini dalam lawatan rasmi ke Malaysia,menerima sambutan penuh istiadat di Kompleks Perdana Putra.
Ketibaan beliau pada pukul 9.03 pagi disambut oleh Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim,diiringi nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara.
Prof Dr Muhammad kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja,diketuai Mejar Arifuddin Mohd Yusof.
Lawatan ini merupakan lawatan balas kepada kunjungan rasmi Perdana Menteri ke Bangladesh pada Oktober tahun lalu.
Turut hadir,kedua-dua Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof,Speaker Dewan Rakyat,Tan Sri Johari Abdul,serta barisan menteri dan pegawai kanan kerajaan.
Selepas sambutan,kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan dua hala bagi membincangkan kemajuan kerjasama Malaysia-Bangladesh.
Tumpuannya meliputi bidang perdagangan dan pelaburan,sumber manusia,pendidikan,pelancongan serta pertahanan.
Perbincangan turut merangkumi perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Menurut kenyataan Wisma Putra,kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan,tenaga,kajian strategik dan antarabangsa,pembangunan kapasiti semikonduktor,serta promosi perdagangan.
Selain itu,turut akan berlangsung pertukaran Nota Diplomatik dalam bidang latihan diplomatik dan pendidikan tinggi.
Perdana Menteri akan menghoskan Majlis Jamuan Tengah Hari Rasmi untuk Dr Muhammad dan deligasi Bangladesh di Kompleks Seri Perdana.