Draf Pendedahan Kewangan Terbuka dijangka dimuktamadkan tahun hadapan - BNM
2025-08-15 HaiPress
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM),Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour. Foto- RTM
KUALA LUMPUR,15 Ogos - Penerbitan Draf Pendedahan mengenai Kewangan Terbuka dijangka dimuktamadkan menjelang tahun hadapan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM),Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour,berkata pelancaran fasa pertama draf tersebut bergantung kepada kesediaan industri dan orang awam.
“Kita melihat tokenisasi sebagai petunjuk inovasi berpotensi dalam sektor kewangan,dengan aplikasi yang ingin dilaksanakan. Fokus kita ialah meneroka manfaat dan implikasi tokenisasi aset dunia sebenar,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2025 (S2 2025) di sini,hari ini.
Beliau menambah,tumpuan juga diberikan kepada potensi manfaat tokenisasi aset sebenar dalam perkhidmatan kewangan,terutamanya kes penggunaan yang memberi impak positif kepada ekonomi.
Menurutnya,kertas perbincangan mengenai tokenisasi aset akan menggariskan pendekatan kolaboratif yang dicadangkan BNM,menyediakan panduan untuk membangunkan kes penggunaan tokenisasi,dan menetapkan perlindungan untuk menyokong inisiatif penerokaan yang bertanggungjawab.
Sebelum ini,Datuk Seri Abdul Rasheed mengumumkan rancangan untuk mengeluarkan draf pendedahan dan kertas perbincangan mengenai tokenisasi aset menjelang akhir tahun,berikutan pengeluaran Kertas Perbincangan mengenai Kepintaran Buatan (AI).