Bekas guru swasta didakwa buat hantaran palsu hina Perdana Menteri
2025-08-20 HaiPress
Foto-RTM
SHAH ALAM,20 Ogos- Seorang bekas guru swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi palsu berhubung kes mengaibkan Perdana Menteri,Disember lalu.
Tertuduh,S. Chandrasegaran,46,didakwa menggunakan aplikasi TikTok dengan secara sedar memuat naik hantaran palsu pada 30 Disember 2024,yang kemudian dilihat dan didengar di sebuah restoran di Bandar Sunway,Petaling pada hari sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama. Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya,jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya,Nurul Sofea Jaysal mencadangkan ikat jamin RM30,000 dengan syarat tambahan,termasuk menyerahkan pasport,melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta larangan mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun,peguam tertuduh,Muhammad Nor Tamrin memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya menghidap kanser tekak,hilang upaya kekal dan tidak berpendapatan tetap.
Hakim Norazlin Othman kemudian membenarkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan semula kes.