KL20: KL di tangga ke-18 ekosistem syarikat pemula terbaik dunia
2025-08-20 HaiPress
Foto hiasan
KUALA LUMPUR,20 Ogos – Pelan Tindakan KL20,inisiatif bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang dilancarkan pada 23 April tahun lalu,mula menunjukkan impak positif terhadap pembangunan ekosistem syarikat pemula (startup) di Malaysia.
Pelan tersebut merangkumi 12 inisiatif utama,bertujuan meletakkan Kuala Lumpur dalam kalangan 20 ekosistem syarikat pemula terbaik di dunia menjelang tahun 2030.
Menurut Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi,Chang Lih Kang,KL20 memberi penekanan kepada usaha menarik lebih ramai pelabur,pengasas syarikat pemula dan bakat berkemahiran tinggi ke dalam ekosistem syarikat pemula tempatan.
“Sehingga 30 Jun 2025,sebanyak 41,696 permohonan telah diterima merentasi semua 12 inisiatif utama di bawah Pelan Tindakan KL20,dengan 40,751 individu dan syarikat telah menerima manfaat.
"Menerusi portal Tetingkap Tunggal MYStartup,sebanyak 4,464 syarikat pemula aktif telah mendaftar. Jumlah-jumlah ini menunjukkan terdapat minat dan sambutan yang luar biasa bagi inisiatif-inisiatif yang ditawarkan melalui Pelan Tindakan KL20,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau turut memaklumkan ketika ini,kedudukan Kuala Lumpur dalam laporan Emerging Startups Ecosystems oleh Startup Genome telah melonjak ke tangga ke-18 bagi tahun 2025,berbanding kedudukan antara tangga ke-21 hingga 30 pada tahun 2024.
Peningkatan itu menunjukkan kemajuan pesat ekosistem syarikat pemula negara,hasil usaha bersepadu kerajaan dalam membangunkan sektor teknologi dan inovasi.