MIHAS 2025 catat jualan RM4.97 bilion, gambar keyakinan pelabur terhadap produk halal Malaysia

2025-09-22 HaiPress

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR,20 September - Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 mencatatkan nilai jualan sebanyak RM4.97 bilion dalam tempoh tiga hari penganjurannya.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE),Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata,angka itu menggambarkan keyakinan pembeli antarabangsa terhadap produk halal Malaysia,terutama pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diiktiraf di peringkat global.

"Pembeli-pembeli luar melihat kualiti barangan Malaysia menepati piawaian yang sangat ketat. Saya ucap terima kasih kepada JAKIM kerana standard mereka diiktiraf sebagai 'gold standard',malah telah diterima pakai di seluruh dunia," katanya selepas majlis Anugerah MIHAS 2025 di sini.

Pencapaian tersebut turut dipacu oleh Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang menerusi libat urus yang disertai oleh seribu pembeli dan penjual tempatan serta antarabangsa,dengan lebih 4,000 sesi padanan perniagaan.

"Daripada jumlah itu,jika hanya satu peratus sahaja diterjemahkan kepada transaksi,ia sudah membawa pulangan besar kepada usahawan Malaysia. Alhamdulillah,hasilnya kali ini jauh melepasi jangkaan kita," katanya lagi.

Datuk Seri Reezal Merican berkata,MIHAS kini bukan sekadar pameran milik Malaysia,malah berperanan sebagai sebuah platform komuniti halal global.

Setakat hari ini,lebih 40,000 pelawat perdagangan dari 100 negara telah hadir ke pameran yang berlangsung sejak 17 September dan angka itu dijangka terus meningkat menjelang penutupan rasmi

''Sambutan menggalakkan ini juga membuktikan industri halal bukan hanya diterima masyarakat Islam,malah semakin mendapat tempat di negara bukan majoriti Islam kerana standard halal Malaysia dilihat menekankan aspek kebersihan,keselamatan dan kelestarian.

''MIHAS juga akan meneruskan jelajah antarabangsa dengan penganjuran edisi seterusnya di Shanghai pada November ini,sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai platform perdagangan halal global,'' katanya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap