Capital A capai fasa akhir penstrukturan, sasar keluar PN17 Disember ini
2025-10-31 HaiPress

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd,Tony Fernandes
KUALA LUMPUR,30 Oktober- Syarikat Capital A Bhd mengumumkan bahawa telah memenuhi semua syarat peraturan dan keperluan pihak berkepentingan bagi proses pemindahan operasi penerbangannya kepada AirAsia Group.
Langkah itu sekali gus membuka laluan untuk permohonan keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17),menjelang hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya,Tan Sri Tony Fernandes menyifatkan pencapaian tersebut sebagai “bab terakhir” dalam proses pemulihan syarikat,yang bermula sejak pandemik COVID-19.
"Segalanya bergantung kepada kerjasama baik yang diberikan oleh pihak berkuasa di Malaysia. Sasaran kami adalah menjelang 31 Disember."
"Dengan selesainya penjualan syarikat penerbangan,langkah seterusnya ialah memohon pengurangan modal. Seterusnya,kami perlu merekodkan dua suku keuntungan berturut-turut,yang kini sedang diaudit."
"Secara keseluruhannya,garis masa yang disasarkan adalah 31 Disember dan itulah tarikh yang kami harapkan dapat dicapai," katanya pada sidang media pengumuman fasa akhir penyusunan semula Capital A.
Tambahnya,pencapaian itu susulan memenuhi semua keperluan yang tertunggak,termasuk surat kebenaran daripada semua pihak berkepentingan serta surat komitmen penempatan persendirian bernilai RM1 bilion bagi AirAsia X.
Selain itu,halangan utama berkaitan pengecualian peraturan daripada pihak berkuasa Thailand juga telah berjaya diselesaikan.
Tambah beliau,cabang penerbangan yang disatukan akan dikenali sebagai AirAsia Group.
AirAsia Group akan menghimpunkan tujuh syarikat penerbangan jarak dekat dan sederhana di bawah satu rangkaian serantau,dengan tumpuan kepada pengoperasian pesawat ‘narrowbody‘ seperti Airbus A321neo dan A321XLR bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kos.
Sementara itu,Capital A akan menumpukan perhatian kepada pengembangan lima syarikat bukan penerbangan berpotensi tinggi termasuk ADE (kejuruteraan),Teleport (logistik),AirAsia MOVE (platform pelancongan),Santan (perniagaan makanan dan minuman) serta AirAsia NEXT (pelesenan jenama dan harta intelek).
Kumpulan itu juga turut merancang untuk menambah jumlah pesawat daripada 255 kepada lebih 600 dalam tempoh 10 tahun,meningkatkan jumlah penumpang daripada 68.8 juta kepada 155 juta setahun,serta memperluas destinasi daripada 143 kepada 175.

