Chile sasar perdagangan lebih mendalam dengan Malaysia, manfaatkan MCFTA, CPTPP - ProChile

2025-11-03 HaiPress

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,2 November - Chile sedang meningkatkan usaha untuk memperteguh hubungan perdagangan dengan Malaysia berdasarkan rangka kerja sedia ada di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Chile (MCFTA) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),menurut agensi perdagangannya ProChile.

Ketua Pengarah ProChile,Ignacio Fernandez berkata terdapat peluang yang luas untuk mempelbagaikan eksport Chile ke Malaysia bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kedua-dua negara dan mempromosikan produk dengan nilai tambah lebih tinggi.

"Pada masa sama,ProChile berhasrat meletakkan Chile sebagai laluan bagi syarikat Malaysia memasuki Amerika Latin,menggunakan rangkaian perjanjian perdagangan dan kelebihan logistiknya yang kukuh seperti zon perdagangan bebas.

"Ini termasuk mempromosikan misi perniagaan,membina perkongsian yang lebih kukuh dan meneroka peluang baharu dalam sektor utama supaya kedua-dua negara boleh meraih manfaat daripada akses pasaran yang diperluas melalui MCFTA dan CPTPP," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Fernandez berkata Malaysia kini adalah destinasi ketiga terbesar bagi eksport Chile dalam kalangan negara ASEAN,dan secara kolektif menerima kurang daripada satu peratus daripada eksport Chile ke seluruh dunia.

"Bagaimanapun,hampir 40 peratus daripada seluruh eksport kami adalah ke Asia. Oleh itu,kami yakin berpeluang untuk membina hubungan yang lebih kukuh dalam ASEAN,terutama di Malaysia memandangkan kami mempunyai perjanjian perdagangan bebas," katanya.

Beliau menekankan bahawa eksport Chile yang berkualiti tinggi mampu menembusi pasaran Asia tetapi kebanyakannya tertumpu di China,Jepun,Korea Selatan dan India.

"Kami yakin apabila orang ramai dan syarikat di Asia Tenggara dan Malaysia mengetahui dengan lebih mendalam mengenai Chile,mereka akan berminat untuk menjalankan perniagaan dengan kami," katanya.

Menurut Fernandez,Chile melihat potensi yang besar dalam sektor seperti eksport makanan,termasuk produk makanan pertanian dan makanan laut memandangkan Chile telah mengeksport hampir 40 peratus daripada pengeluarannya ke Asia manakala kurang daripada satu peratus ke negara-negara ASEAN.

Beliau berkata sektor perkhidmatan dan inovasi turut menawarkan peluang besar untuk kerjasama yang lebih erat memandangkan Chile kini membekalkan lebih banyak perkhidmatan dan inovasi dalam bidang pertanian,perlombongan,akuakultur dan sektor lain.

"Kami mempunyai kepakaran antarabangsa dan telah membangunkan rangkaian syarikat yang menawarkan teknologi dan perkhidmatan khusus.

"Kami telah mengeksport perkhidmatan ini ke negara lain di benua Amerika dan Eropah. Tahun lepas,kami telah mengeksport perkhidmatan bernilai lebih US$2.9 bilion (US$1=RM4.19) ke seluruh dunia,dan kami yakin kami juga boleh menawarkan perkhidmatan sedemikian kepada perniagaan Malaysia," katanya.

Fernandez berkata negara-negara ASEAN termasuk Malaysia adalah teras kepada matlamat Chile untuk mempelbagaikan eksport.

"Chile adalah rakan perniagaan yang boleh dipercayai,dan kami bukan sahaja menghasilkan mineral malah makanan sihat,selamat dan dihasilkan secara mampan serta perkhidmatan dan teknologi bertaraf dunia.

“Syarikat-syarikat Chile terbuka untuk menjalinkan perniagaan,dan kami di ProChile gembira untuk menyokong mereka. Oleh itu,hubungi pejabat kami di Kuala Lumpur dan kenali Chile," katanya.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap