Ringgit dibuka tinggi, hampir cecah paras tertinggi dalam tempoh setahun
2025-11-03 HaiPress

Foto fail/RTM
KUALA LUMPUR,3 November -Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada hari dagangan pertama bulan November,hampir mencecah paras tertinggi dalam tempoh setahun,dengan peniaga menjangka Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah pada 2.75 peratus.
Pada 8 pagi,ringgit dicatatkan pada 4.1795/2005 berbanding dolar AS daripada 4.1860/1930 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Kali terakhir paras itu dicatatkan pada 2 Okt 2024 apabila mata wang tempatan diniagakan pada RM4.1760.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka mengekalkan momentum positif menjelang keputusan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada 6 November.
“Kami menjangka OPR tidak berubah berikutan perbezaan kadar faedah antara OPR dan kadar dasar negara maju yang kecil dilihat menjadi pemacu utama kepada ringgit terutamanya apabila BNM dijangka mengekalkan pendirian monetarinya berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang stabil dan kadar inflasi yang sederhana pada masa depan,” katanya kepada Bernama.
Katanya komitmen kukuh daripada kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan jurang belanjawan kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun depan akan menjadi faktor positif dari segi kredit,yang akan menggalakkan pelabur asing membeli sekuriti kerajaan.
“Berdasarkan terdapat kekurangan data dari Amerika Syarikat (AS) disebabkan penutupan kerajaan AS,peniaga berkemungkinan akan melihat kepada faktor domestik untuk membentuk pandangan mereka mengenai pergerakan mata wang.
“USDMYR dijangka berada antara 4.18 dan 4.20 hari ini,” katanya.
Pada sesi pembukaan,ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding yen kepada 2.7104/7242 daripada 2.7162/7210 semasa ditutup pada Jumaat lepas,mengukuh berbanding pound kepada 5.4889/5165 daripada 5.5025/5117 dan meningkat berbanding euro kepada 4.8177/8419 daripada 4.8453/8534 sebelum ini.
Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2103/2267 daripada 3.2185/2241 semasa ditutup pada Jumaat lepas,naik berbanding baht Thailand kepada 12.8683/12.9425 daripada 12.9429/9702,hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 251.3/252.6 daripada 251.7/252.2 dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.11/7.15 daripada 7.12/7.14 sebelum ini. - BERNAMA
