Pengecualian visa bagi rakyat Malaysia, Rusia kemuka draf perjanjian baharu
2025-12-11 HaiPress

Duta Besar Rusia ke Malaysia,Naiyl M. Latypov
KUALA LUMPUR,11 Disember- Rusia mengesahkan bahawa draf perjanjian baharu bagi pengecualian visa untuk rakyat Malaysia telah diserahkan kepada kerajaan Malaysia dan kini menunggu maklum balas rasmi.
Duta Besar Rusia ke Malaysia,Naiyl M. Latypov berkata pihaknya optimis rundingan itu akan mencapai persetujuan bersama tidak lama lagi,selepas berlanjutan selama lebih sedekad.
Jelasnya,pelawat dari Rusia tidak memerlukan visa apabila melawat Malaysia,namun sebaliknya bagi rakyat di negara ini.
Justeru,Moscow komited untuk melaksanakan perjanjian pengecualian visa berdasarkan prinsip timbal balas yang akan membawa hubungan kedua-dua negara ke tahap baharu.
''Moscow dan Kuala Lumpur telah memulakan rundingan mengenai pengecualian visa sejak 2014 dan terkini,kami telah mengemukakan draf perjanjian baharu kepada kerajaan Malaysia pada Oktober lalu. "
''Kami sedang menunggu maklum balas daripada pihak Malaysia dan pada hemat saya terdapat beberapa perbezaan dan isu kecil yang perlu diselesaikan dan saya berharap ia dapat mencapai kata sepakat tidak lama lagi,” katanya pada sesi taklimat media di Kedutaan Rusia di Malaysia.
Pengecualian visa itu akan ditawarkan untuk semua kategori pelawat,kecuali untuk tujuan kerja atau menetap bagi tempoh jangka panjang.
Beliau yakin pemansuhan visa akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan jurang dalam aliran pelancong kedua-dua negara.
Jelasnya,dari Januari hingga November tahun ini,sebanyak 130,000 rakyat Rusia melawat Malaysia manakala hanya 4,000 rakyat Malaysia melawat Rusia.
''Aliran pelancong yang memasuki kedua-dua negara menunjukkan peningkatan saban tahun,bagaimanapun angka ini masih dianggap rendah."
“Atas sebab itu,memansuhkan visa amat penting untuk meningkatkan kedatangan pelancong Malaysia ke Rusia,” katanya.
Sementara perjanjian pengecualian visa dapat dimuktamadkan,Moscow berusaha untuk memudahkan kemasukan rakyat dari negara ini menerusi kemudahan e-visa secara dalam talian dengan kelulusan dalam tempoh tiga hari.
Selain itu,Rusia juga giat mewujudkan persekitaran mesra Muslim bagi menarik lebih ramai pelancong Malaysia.
Mengulas isu penerbangan terus,katanya kedua-dua negara sedang meneliti beberapa kekangan teknikal selepas beberapa siri rundingan di peringkat Kementerian Pengangkutan diadakan.
“Kesukaran utama adalah berkaitan pengisian semula bahan api pesawat akibat sekatan,selain isu insurans dan pembayaran."
"Tetapi saya yakin,jika ia membawa manfaat kepada kedua-dua negara,kita akan mencapai penyelesaian bersama. Kami sedang berusaha ke arah itu,” katanya.
