54 kakitangan Kementerian Komunikasi, akan terima bantuan banjir

2024-11-30 HaiPress

Menteri Komunikasi,Fahmi Fadzil/BERNAMA

KUALA LUMPUR,30 November- Seramai 54 kakitangan Kementerian Komunikasi yang terkesan akibat banjir,akan menerima bantuan.

Menurut Menteri Komunikasi,Fahmi Fadzil bantuan itu disalur menerusi Tabung Bencana Banjir yang telah diaktifkan sejak 2022 dan akan membabitkan seluruh warga kementerian yang terkesan di seluruh negara.

"Saya juga telah minta pihak BERNAMA untuk meneliti 13 wartawan yang terkesan akibat banjir dan kita akan usahakan juga bantuan melalui Tabung Kasih HAWANA.

Insya-Allah saya akan bincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) untuk mengerah pasukan Komuniti MADANI dari negeri-negeri yang tidak terkesan ataupun negeri-negeri yang berjiran untuk membantu.

Ini termasuk usaha pembersihan kelak,sejurus banjir surut. MCMC juga akan susuli dengan sejumlah bantuan yang mereka akan umumkan nanti," kata Fahmi kepada pemberita,hari ini.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Komunikasi di Pantai Dalam,di sini.

Jelasnya,seramai tiga petugas dari BERNAMA,26 orang dari JAPEN,dua orang dari J-KOM,20 dari RTM,dua dari MCMC serta seorang dari kementerian yang akan menerima bantuan tersebut.

Sementara itu,JAPEN turut memaklumkan sebanyak 23 Komuniti MADANI terjejas di negeri Terengganu manakala jumlah Komuniti MADANI di negeri lain kini sedang dikenal pasti.

Mengulas lanjut,Fahmi berkata beliau turut akan 'turun padang' bagi meneliti keadaan penduduk terjejas banjir di samping meneliti status menara komunikasi yang terjejas di seluruh negara.

Dalam pada itu,rata-rata pengamal dan petugas media menyambut baik inisiatif Kementerian Komunikasi yang mengaktifkan semula Tabung Bencana Banjir sejak 2022 itu.

"Membawa erti yang sangat besar pada mereka bukan sahaja untuk memberikan semangat yang tinggi malah untuk meneruskan kehidupan. Selain itu,untuk mereka meneruskan tugas sebagai wartawan dan media meski berdepan keadaan banjir yang sangat menyayat hati," kata Dhiyaulhaq Hamzah,petugas BERNAMA.

"Perkara yang sangat positif untuk mereka,yang turut sama mencari rezeki. Tanpa media,tiadalah berita untuk pengetahuan umum. Maka,ini adalah satu perkara yang sangat bagus dan kita harap ini akan berterusan," kata Johanna Mumtaz Wanpa,petugas media Utusan Malaysia.

Dalam perkembangan lain,Fahmi menegaskan bahawa penggunaan pelesenan kepada platform media sosial adalah penting bagi mengatasi permasalahan dalam internet antaranya isu siber buli.

Ketika ini,pihaknya akan menjemput wakil dari platform berkenaan untuk diberikan taklimat mengenai draf mutakhir Kod Tatalaku Perlesenan berkenaan.

"Setakat ini,kita belum proseskan lagi kerana kita baru terbitkan kod tatalaku. Saya telah minta supaya dalam bulan Disember terutama separuh pertama bulan Disember,platform-platform ini diberikan satu taklimat tentang draf mutakhir.

Draf akhir kod dan kedua kita akan bawa ke Parlimen pada Isnin ini,insya-Allah," jelas Fahmi.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Dalam Talian CAM      Hubungi kami   SiteMap